SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 2,800 liter minyak diesel bersubsidi selepas membongkar satu aktiviti penyelewengannya di Bagan Lalang di sini, semalam.
Pembongkaran minyak diesel subsidi bernilai RM6,020 itu dilakukan menerusi Ops Tiris 3.0 hasil risikan pasukan penguat kuasa terbabit.
Pengarahnya, S. Jegan berkata, dalam operasi tersebut pihaknya menemui sebuah lori kanvas yang ditinggalkan di tepi jalan bersebelahan sebuah kedai kopi di kawasan berkenaan.
“Lori kanvas berwarna merah yang ditinggalkan di tepi jalan ini kelihatan mencurigakan. Pemandunya yang disyaki tidak memiliki dokumen atau permit kebenaran dari pengawal juga telah melarikan diri sewaktu pemeriksaan dilakukan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, lori kanvas ini mempunyai enam unit tangki intermediate bulk container (IBC) berkapasiti 1,000 liter yang mengandungi sejumlah 2,800 liter minyak diesel dan dua set pam motor berserta hos paip,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, kesemua barangan tersebut disita untuk tindakan selanjutnya dengan nilai anggaran keseluruhan barang rampasan berjumlah RM27,620.
Dalam pada itu, katanya lagi, KPDN Pulau Pinang sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan sekitar negeri ini bagi mengekang ketirisan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi. – KOSMO! ONLINE