PETALING JAYA – Seorang ibu yang membancuh susu anak lelakinya berusia 16 bulan menggunakan cecair syabu menukar pengakuan tidak bersalah atas kesalahan itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tertuduh wanita berusia 34 tahun itu menukar pengakuan tidak bersalah tersebut pada prosiding sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Noor Ruzilawati Mohd. Nor yang mana sepatutnya hari ini adalah fakta kes dan jatuh hukum bagi tertuduh tersebut.
Sementara itu suaminya, yang berusia 40 tahun selepas dibacakan semula pertuduhan terhadapnya kekal dengan pengakuan tidak bersalah seperti prosiding sebelum ini.
Mengikut pertuduhan kedua-duanya bersama-sama didapati melakukan penganiayaan terhadap anak lelaki mereka berusia setahun empat bulan dengan memberi minum air susu bercampur dengan air yang mengandungi dadah berbahaya jenis
Methamphetamine (syabu) sehingga menyebabkan bayi itu mengalami “allegedsympathomimetic drug ingestion”.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pangsapuri di Taman Medan di sini pukul 6 petang pada 19 Februari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin kemudian memohon mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi sebutan semula kes dan laporan perubatan penuh.
Semasa prosiding, peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili tertuduh wanita dan peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili tertuduh lelaki tidak membantah berhubung tarikh baharu bagi sebutan semula kes.
Hakim Noor Ruzilawati kemudian menetapkan 10 Mei ini bagi sebutan semula kes kedua-dua tertuduh selain status laporan perubatan pada tarikh yang sama.
Sebelum ini, mahkamah telah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sekali setiap bulan dan tidak boleh mengganggu saksi-saksi sehingga kes selesai.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang bayi lelaki dikejarkan ke hospital selepas ibunya tersilap membancuh susu bayi menggunakan cecair syabu dalam kejadian di Taman Medan di sini.
Menurut polis, pihaknya menerima maklumat tersebut dari pihak Hospital Kajang, keesokan harinya.
Siasatan awal mendapati pada hari kejadian bayi yang berusia satu tahun empat bulan ketika itu berada di bawah jagaan neneknya yang berusia 55 tahun di Seri Kembangan.
Semasa dalam jagaan neneknya, mangsa tidak berhenti menangis, terlalu aktif dan sukar dikawal. Wanita itu kemudian bertanyakan punca tingkah laku pelik bayi itu kepada ibu mangsa.
Ibu mangsa yang berusia 34 tahun mengaku tersilap membancuh susu bayi berkenaan menggunakan air syabu milik suaminya yang berusia 40 tahun. – KOSMO! ONLINE