fbpx

PTP, LPJ sumbang kelengkapan sekolah mesra alam sekitar kepada 170 murid di Gelang Patah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Murid sekolah bergambar bersama pihak pengurusan PTP dan LPJ selepas majlis penyampaian sumbangan di Gelang Patah, Johor baru-baru ini.

PETALING JAYA – Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) bersama Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah menyumbang kelengkapan sekolah kepada 170 murid sekolah rendah dan menengah yang berasal dari keluarga kurang berkemampuan di sekitar kawasan Gelang Patah, Johor. 

Murid-murid tersebut telah dipilih daripada sekolah-sekolah tajaan yang bernaung dibawah inisiatif pendidikan bagi Program Pelaburan Sosial Korporat (CSI) Kembali Ke Sekolah PTP LPJ 2024.

Kelengkapan sekolah tersebut terdiri daripada barang-barang mesra alam sekitar seperti kotak pensel, botol air, beg jut dan banyak lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, program Kembali Ke Sekolah telah dianjurkan syarikat sejak lebih 16 tahun lalu dengan kerjasama banyak pihak tempatan seperti LPJ  dan Pejabat Pendidikan Johor Bahru.

Ia bertujuan untuk menyampaikan bantuan yang diperlukan dan meringankan beban golongan yang memerlukan dalam komuniti setempat di persekitaran PTP.

 

“PTP memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu pendidikan, alam sekitar dan pembangunan komuniti untuk memperkasakan kehidupan masyarakat sekeliling. 

“Di bawah inisiatif pendidikan sebagai contoh, Program Kembali ke Sekolah bertujuan untuk membantu pelajar dalam memberikan pengalaman kembali ke sekolah yang positif bermula dengan kelengkapan persekolahan yang baharu bagi sesi persekolahan tahun 2024.”

“Pemberian peralatan sekolah yang lebih mesra alam kepada pelajar tahun ini juga sejajar dengan agenda kelestarian PTP yang mana pendidikan dan tanggungjawab alam sekitar bergerak seiring.

“Itulah sebabnya kami lebih teruja untuk melancarkan program kembali ke sekolah pada tahun ini kerana ia melibatkan elemen mesra alam dan mampan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Selain itu, Pengurus Besar LPJ, Datuk Monaliza Suhaimi menerangkan, sebagai sebuah agensi kerajaan, LPJ memahami tanggungjawab dan sumbangan agensi dalam membina kesejahteraan masyarakat setempat. 

“Dengan penglibatan aktif dalam aktiviti CSR, kami turut dapat memupuk prinsip Madani yang menekankan kepentingan integriti, belas kasihan, kelestarian dan kecemerlangan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI