KUALA LUMPUR – Sekali lagi cubaan pihak pembangkang untuk menolak Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) gagal apabila mereka tewas dalam undi belah bahagi dengan 109 Ahli Parlimen bersetuju berbanding 96 yang tidak menyokong.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan itu turut berkata seramai 15 Ahli Parlimen tidak hadir ketika pengundian dilakukan.
Undian belah bahagi itu dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya kelulusan belanjawan tersebut diputuskan menerusi kaedah itu dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Berikutan itu, MOTAC diluluskan untuk menggunakan peruntukan berjumlah RM1.14 bilion sebagai perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi sektor pelancongan dan kebudayaan bagi tahun 2021 iaitu peningkatan 2.75 peratus berbanding RM1.109 bilion tahun ini.
Terdahulu, dalam ucapan penggulungan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, MOTAC sudah dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memulihkan semula sektor pelancongan selepas pintu sempadan negara kembali dibuka semula. – K! ONLINE.