SHAH ALAM – Plaza Alam Sentral di sini, yang telah diambil alih oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dari Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) kembali meriah dengan penganjuran Festival Ramadan Selangor (Festira) 2024 sehingga 9 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) Fakru Radzi Ab. Ghani berkata, festival yang bermula sejak 22 Februari itu menyasarkan kehadiran seramai dua juta pengunjung.
Jelasnya, Plaza Alam Sentral merupakan aset baharu PKNS yang telah diambil alih sejak bulan Disember yang lalu dan banyak yang perlu dilakukan untuk menarik pengunjung kembali ke pusat beli-belah tersebut.
“PKNS telah merancang pelbagai projek naik taraf bagi menambah baik dan memberi nafas baharu kepada bangunan ni kelak.
“Sebelum ini Plaza Alam Sentral seperti yang semua ketahui adalah sedikit kurang menarik dan kita berharap di bawah PREC ia akan hidup semula,” katanya pada Majlis Perasmian Festira 2024 oleh Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi di sini hari ini.
Fakru Radzi berkata, Plaza Alam Sentral akan dijenamakan semula dan menjelang tahun depan orang ramai akan menyaksikan Plaza Alam Sentral yang berwajah baharu.
“Kita berharap Festira 2024 yang diadakan di lima lokasi iaitu Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan SACC Walk turut memeriahkan Plaza Alam Sentral.
“Kita mempunyai penambahan 1,200 peniaga berbanding 500 sebelum ini. Datanglah beramai-ramai untuk membeli baju raya dan kelengkapan raya sambil dihiburkan artis-artis jemputan,”katanya. – KOSMO! ONLINE