fbpx

ASNB lancar Penasihat Pelaburan Robo, RIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUZZAFFAR memperkenalkan RIA, ciri baharu dalam aplikasi myASNB.

PETALING JAYA – Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) memperkenalkan Penasihat Pelaburan Robo (RIA), satu ciri baharu dalam aplikasi myASNB yang direka untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses rakyat Malaysia.

RIA dilancarkan untuk menangani cabaran umum apabila membuat keputusan pelaburan, selain memperkasakan individu dari semua lapisan masyarakat untuk mengawal dan bertanggungjawab terhadap masa depan kewangan mereka dengan pengalaman pelaburan mesra pengguna serta diperibadikan.

Bermula dengan deposit minimum sebanyak RM100, RIA menangani isu-isu penting seperti literasi kewangan, pelaburan minimum yang tinggi dan akses kepada nasihat profesional.

Dikuasakan oleh algoritma lanjutan, RIA membina portfolio tersuai berdasarkan toleransi risiko dan matlamat kewangan individu, memastikan portfolio kekal sejajar dengan objektif pelabur melalui pengimbangan semula automatik dan pelaburan semula dividen.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Muzzaffar Othman berkata, pengenalan RIA menandakan satu langkah penting ke arah menjadikan pelaburan lebih inklusif dan mudah diakses oleh pelanggan.

“Inisiatif ini jelas mencerminkan matlamat baharu PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

“Dengan RIA, pelaburan adalah semudah satu sentuhan, memberikan kuasa di tangan pemegang unit kami untuk mengemudi masa depan kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Disesuaikan dengan pelabur Malaysia, RIA menyokong kaedah pembayaran tempatan yang popular dan tersedia dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris untuk kemudahan penggunaan.

Pelabur yang membuka portfolio RIA melalui aplikasi myASNB akan menikmati pengecualian yuran pengurusan RIA (yuran wrap) sebanyak 0.30 peratus setahun sehingga 31 Disember 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI