fbpx

PDRM teliti dakwaan pengedar filem warga tempatan adalah ‘bos’ raja dadah India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razaruddin.

PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan laporan sebuah portal mengenai bos ‘raja dadah India’ adalah warga Malaysia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah melakukan semakan pangkalan data Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berkaitan perkara itu.

“Penama yang dilaporkan portal berkenaan yang ditahan oleh Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India pada Sabtu lalu tidak berada dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah di dalam negara.

“Hasil semakan pangkalan data (database) JSJN mendapati sehingga kini penama ini tidak timbul dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah di dalam negara ini.

“Bagaimanapun, JSJN sedang mendapatkan maklumat dari pihak SLO India berkait penglibatan penama ini di Malaysia seperti yang didakwa dalam portal berita dalam talian itu,” katanya hari ini.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan media di India mendakwa ‘bos’ kepada raja dadah India merupakan seorang pengedar filem warga Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan selebriti industri filem Tamil dan sedang berada di negara ini.

Ini selepas penerbit filem Tamil, Jaffer Sadiq, yang didakwa mempunyai kaitan dengan penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM1.13 bilion ditahan oleh Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun, pendedahan yang dilakukan seorang wartawan kanan dan pemilik media Savukku, A. Shankar melalui sebuah wawancara di YouTube tersebut tidak disertakan dengan nama individu yang terlibat.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, buat masa ini, JSJN tiada sebarang hubungan bilateral dengan Biro Kawalan Narkotik (Narcotics Control Bureau), India dan sebarang komunikasi dijalankan melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA), Amerika Syarikat.

“PDRM khususnya JSJN amat menitikberatkan kerjasama antarabangsa dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah.

“Komitmen ini dapat dilihat melalui penglibatan Malaysia dengan agensi antarabangsa seperti Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), DEA dan Australian Federal Police (AFP),” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI