fbpx

Bekas pembantu awam didenda RM30,000 kes baiki rumah daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Hafizul ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. - Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS / KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang bekas pembantu awam Jabatan Pengairan dan Saliran daerah Sabak Bernam didenda RM30,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen hari ini, selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu bagi kerja baik pulih empat rumah daif, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizul Akmal Hasbullah, 33, menukar pengakuan bersalah tersebut terhadap lima pertuduhan pilihan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mahkamah turut memerintahkan Muhammad Hafizul yang juga kontraktor itu dikenakan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan kelima-lima pertuduhan tersebut, dia didakwa menggunakan dokumen palsu bagi kerja-kerja baik pulih rumah daif di bandar di bawah Program Kemiskinan Bandar Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Ini melibatkan empat rumah penerima program sekitar Sungai Besar dan Sekinchan dengan kesemua perbuatan tertuduh itu dilakukan di Pejabat MDSB antara Jun hingga Julai 2021.

Peguam Muhammad Affendy Mohd. Yusop mewakili tertuduh dalam proses rayuan berharap hukuman minimum dikenakan dengan alasan anak guamnya kini tidak bekerja dan perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang masih kecil.

“Anak guam saya juga menghidap sakit belakang badan dan telah disahkan oleh pakar perubatan merawatnya,” jelasnya.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shaharuzaman bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan ke atasnya sebagai pengajaran kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI