KLANG – Seorang kanak-kanak perempuan menempuh detik hitam apabila cedera diserang dan diheret dua ekor anjing ketika membuang sampah di kawasan flat Taman Suria Pendamar di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu mengakibatkan mangsa, Nur Acha Dawina Muhd. Nur, 11, cedera di bahagian kepala, telinga kanan, muka, lengan kiri dan kesan cakaran di belakang badan.
Kanak-kanak itu bagaimanapun dilaporkan stabil dengan menerima 15 jahitan selepas menjalani pembedahan selama enam jam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.
Ibu mangsa, Norhashiqin Rosli, 29, berkata, sebelum kejadian anak sulung daripada empat beradik itu bersama ibu saudaranya telah turun bagi membuang sampah di kawasan flat tersebt.
Katanya, dua ekor anjing dikatakan menyalak dan datang kepada mereka sebelum berlakunya serangan binatang itu.
“Kakak saya (ibu saudara mangsa) telah lari ke arah bawah blok flat, manakala anak lari ke arah surau sebelum digigit dua ekor anjing tersebut.
“Serangan binatang itu berlaku dengan pantas dengan anak diheret beberapa meter. Saya yang melihat dari tingkap rumah di aras tiga menjerit meminta tolong sebelum seorang penunggang motosikal menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Jelas suri rumah tersebut, serangan itu dikatakan berlaku hampir satu minit yang membuatkan kecederaan teruk terutama di bahagian kepala, dahi dan tulang telinga sebelah kanan terkeluar.
Ujar Norhashiqin, ini adalah serangan kedua berlaku kepadanya dengan kali pertama pada 6 Mac lalu sejak sebulan tinggal di flat tersebut.
“Kumpulan anjing liar tersebut hadir di lokasi ini disebabkan ada anak salah seorang pemilik rumah di aras bawah flat ini sering memberikan makanan kepada haiwan tersebut seterusnya mengaku sebagai pemilik anjing berkenaan.
“Difahamkan penduduk ada membuat aduan sebelum ini berhubung anjing liar yang berkeliaran di kawasan ini namun tiada tindakan sewajarnya ,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk lain, G. Ramesh, 48, memaklumkan anjing tersebut pernah naik sehingga aras satu sebuah blok flat tersebut sebelum dihalau penduduk.
“Hendak beri (anjing) makan itu bagus, namun kalau sampai mendatangkan kemudaratan kepada manusia, itu sudah lain jadinya. Lagipun ini bukan kejadian pertama dan kita bimbang sekiranya tiada tindakan dibuat akan menyebabkan insiden tersebut berulang,” ujarnya.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! mendapati operasi menangkap anjing liar di lokasi tersebut sedang giat dilakukan Majlis Bandaraya Diraja Klang susulan kejadian serangan tersebut. – KOSMO! ONLINE