PETALING JAYA – Bapa kepada seorang pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Al Uzma, Kota Bharu akhirnya memunculkan diri selepas tular anaknya yang termenung menanti kehadirannya baru-baru ini.
Pengasas Maahad Tahfiz tersebut, Mohd. Romuza Abd. Ghani berkata, lelaki berusia 49 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan membuat apa sahaja pekerjaan yang ada untuk menampung kehidupan, datang tiga hari lepas.
“Dia datang lebih kurang dalam pukul 10 malam untuk melawat anaknya setelah diberitahu oleh orang kampung tentang keadaan anaknya di tahfiz itu.
“Selain tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan adakalanya hanya menumpang di rumah orang dan surau, lelaki tersebut juga tidak mempunyai telefon untuk dihubungi.
“Dia hanya tahu tentang keadaan anaknya itu selepas disuruh oleh kawan-kawan supaya datang melawat,” katanya.
Mohd. Romuza berkata, dia tidak kisah sekiranya pelajar tersebut tidak pulang setiap kali cuti sekolah, namun berharap agar ibu bapa juga dapat mengambil tanggungjawab yang sama dan tidak terputus hubungan dengan pihak tahfiz.
“Saya tak kisah soal ketiadaan tempat tinggal bapanya, namun saya harap dia datang menjenguk anaknya setiap kali diminta untuk datang, tapi dia hanya diam,” ujarnya.
Dalam pada itu, ujarnya, lelaki tersebut berjanji akan membawa pulang anaknya pada cuti persekolahan yang akan datang, namun buat masa sekarang, keadaan dirinya masih tidak mengizinkannya untuk berbuat demikian.
Tambahnya, dia lega dengan kehadiran bapa pelajar tersebut kerana anaknya kelihatan lebih ceria selepas pertemuan itu.
Isnin lalu Kosmo! melaporkan, ibu tiri pelajar lelaki Maahad Tahfiz Al Quran Al Uzma, Kota Bharu, Kelantan yang tular menanti kehadiran ibu bapa kandungnya, telah menghubungi pusat tahfiz tersebut bertanya keadaan remaja itu. – KOSMO! ONLINE