fbpx

Treler ‘makan jalan’ dipercayai punca dua pelancong asing maut kemalangan di Semporna

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kemalangan membabitkan tiga kenderaan yang mengakibatkan dua pelancong meninggal dunia dalam kejadian di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau petang semalam. - Foto IHSAN BOMBA

SEMPORNA – Treler disyaki hilang kawalan lalu ‘makan jalan’ sebelum memasuki laluan bertentangan dipercayai punca dua pelancong asing maut dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau petang semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kejadian pukul 3.30 petang yang membabitkan tiga kenderaan iaitu treler, van pelancong dengan sebuah lori box.

“Pelanggaran berlaku disebabkan oleh treler yang hilang kawalan telah makan jalan dan masuk ke lorong bertentangan jalan sebelah kanan.

“Seterusnya berlanggar dengan van pelancong dari arah depan dengan muatan penumpang seramai lima warga Singapura, satu warga Vietnam berusia lingkungan 11 hingga 71 tahun.

“Akibat pelanggaran itu, serpihan kemalangan terbang ke cermin hadapan lori box yang berada di belakang treler mengakibat cermin hadapan lori box pecah,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

– Foto IHSAN BOMBA

Mohd. Farhan berkata, pemandu treler dan lori box tidak mengalami kecederaan.

“Dua penumpang van warga Singapura dan Vietnam berusia lingkungan 40 dan 60 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat lagi penumpang van pelancong warga Singapura parah dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pemandu treler warga tempatan berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar berkenaan kemalangan van pelancong dengan treler hinga dua maut manakala lima parah.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI