PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada umat Islam di seluruh negara.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda menyeru umat Islam supaya merebut peluang mempertingkatkan amal ibadah dan mengeratkan ukhuwah sesama umat.
“Ketepikan sebarang perselisihan, perbalahan dan perseteruan bersempena bulan Ramadan yang barakah,” katanya hari ini.
Sultan Ibrahim turut mengajak seluruh umat Islam untuk bersama Seri Paduka Baginda bermunajat dan berdoa, semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada apa jua bentuk ancaman, bencana dan musibah. – KOSMO! ONLINE