fbpx

Ikrar treler kosong rupanya bawa 14,000 liter diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai kastam menunjukkan ruang penyimpanan diesel pada salah sebuah treler yang ditahan di ICQS Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.

BUKIT KAYU HITAM – Tindakan dua pemandu treler warga Thailand mengikrarkan kenderaan dipandu sebagai tidak membawa muatan atau kosong bagi mengaburi kegiatan penyeludupan diesel ke negara jiran gagal apabila mereka ditahan, baru-baru ini.

Kedua-dua pemandu lori terbabit ditahan selepas pemeriksaan dilakukan pegawai kastam ke atas treler menemui 14,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM30,100.

Pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan dan Cawangan Import Eksport Bukit Kayu Hitam di Kompleks Dagangan Berat (Eksport) Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Isnin dan Selasa lalu.

Pengarah Kastam negeri, Nor Izah Abd Latiff berkata, bertindak atas maklumat, pemeriksaan dilakukan ke atas dua treler bernombor pendaftaran Thailand berkenaan.

“Setelah melakukan pemeriksaan, pasukan mendapati terdapat beberapa bahagian lori treler dan semi treler telah diubah suai untuk mengangkut minyak yang dipercayai diesel untuk diseludup ke negara jiran.

“Dua lori tersebut telah disita dan pemandu lori ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan awal mendapati dua treler itu bergerak ke negara jiran melalui Kompleks Dagangan Berat (Eksport) Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dengan mengikrar sebagai lori kosong.

“Namun, pegawai kastam Bukit Kayu Hitam telah memeriksa dengan teliti treler tersebut dan mendapati terdapat beberapa bahagian termasuk tangki telah diubah suai. Pengubahsuaian tersebut membolehkan treler mengisi diesel dengan lebih banyak,” ujarnya.

Katanya, pengubahsuaian dilakukan bagi mengaburi pihak kastam dengan lori treler berkenaan dipercayai membuat sekurang-kurangnya dua hingga tiga perjalanan sehari dari negara jiran ke Malaysia.

Tambahnya, pihaknya merampas 14,000 liter diesel yang cuba diseludup ke negara jiran itu dan jumlah rampasan keseluruhan iaitu diesel dan dua treler adalah RM280,100.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI