JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan aksi dua pemuda sengaja menaiki motosikal secara berbahaya di hadapan kamera had laju, lapor laman berita Detik.
Dalam video tersebut, dua lelaki tidak memakai topi keledar itu menunggang motosikal di Jalan AP Pettarani, Makassar.
Mereka menaiki motosikal secara berbahaya dan melulu.
Ketika melintas di hadapan kamera Penguatkuasaan Undang-undang Lalu Lintas Elektronik (ETLE), lelaki yang membonceng didengari mengajak perakam video untuk membuat aksi bergambar.
Dia kemudian dilihat mengangkat tangannya untuk membuat simbol ‘love’ ketika melintasi kamera tersebut.
Menurut Ketua Unit Trafik Polis Makassar, Amin Toha, pihaknya sedia maklum mengenai video tersebut dan akan melakukan siasatan.
“Kami sedang menyiasat video itu. Hukuman setimpal akan dikenakan,” ujarnya. – AGENSI