KUALA LUMPUR – Sebanyak 52 peratus daripada 101,385 individu yang hilang pekerjaan di negara ini setakat 3 Disember lalu kini hanya beroleh pendapatan di bawah RM2,000 sebulan sekali gus menjadikan mereka miskin dan miskin tegar.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika ini kerajaan memberi tumpuan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menangani kemiskinan rakyat di bandar dan di luar bandar dalam fokus kepada agenda pembasmian kemiskinan Pelan Pembangunan Negara.
“Kerajaan telah dan sedang melaksanakan usaha memulihkan ekonomi dan sosial mengimbangi keperluan ekonomi sosial dan kesejahteraan rakyat terutamanya rakyat yang dikategorikan sebagai miskin.
“Antara lain bantuan sosial seperti RM2.2 billion yang telah diperuntukkan untuk bantuan bulanan persekutuan bagi tahun 2021 berbanding RM1.5 billion pada tahun ini seperti bantuan pada OKU dan lain-lain kumpulan.
“Kerajaan juga telah meneruskan bantuan sara hidup yang memberi manfaat kepada 4.5 juta penerima dengan peruntukan berjumlah RM5 billion pada tahun ini,” katanya dalam sesi soal jawab di sidang Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata demikan ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Bersatu-Tambun) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah mengenal pasti golongan yang jatuh ke kategori miskin dan miskin tegar secara tiba-tiba akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – K! ONLINE.