KOTA BHARU – Jabatan Penjara Malaysia (JPM) Kelantan mendedahkan bahawa beberapa penjara di negeri ini berada dalam keadaan kritikal, namun masih mampu menampung kapasiti banduan.
Pengarahnya, Mat Yaacob berkata, kesesakan penjara ketika ini berada pada tahap 87 peratus dengan jumlah banduan mencapai 7,000 orang.
“Situasi itu sekali gus melebihi kapasiti asal iaitu seramai 3,000 banduan.
“Tahap kemasukan banduan reman atau sabitan secara purata mencecah 100 hingga 150 orang sehari di negeri ini meskipun ada yang bebas secara harian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sambutan Hari Penjara Ke-234, Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Serah Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mat memberitahu, JPM Kelantan menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk melatih prospek yang akan dilepaskan melalui parol dan PPDK sebagai penoreh getah profesional di ladang-ladang getah.
Katanya, melalui kerjasama itu, JPM Kelantan perlu menyediakan seramai 750 prospek untuk dibekalkan sebagai tenaga penoreh profesional bagi tahun ini.
“Kita sudah melepaskan seramai 93 prospek secara Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) untuk bekerja di ladang-ladang getah sekitar Kuala Krai dan Tanah Merah semalam.
“JPM Kelantan sudah menandatangai memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pertubuhan Peladang Kawasan (LPPK) di tiga negeri iaitu Kelantan, Perlis dan Sabah di Pejabat Pengarah Penjara Negeri Kelantan dengan disaksikan oleh Komisioner General Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE