fbpx

Dakwaan saya suka bocor maklumat mesyuarat tidak masuk akal – Sanusi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan dakwaan kononnya dirinya suka membocorkan maklumat Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah dalam ceramah politik sebagai tidak masuk akal.

Kata beliau, kebimbangan tentang kebocoran maklumat rahsia kerajaan hanyalah alasan ‘mengada-ngada’ kerana semua maklumat kerajaan akan sampai ke pengetahun Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikannya apabila tiba masa.

“Belum ada kejadian bocor selama empat tahun ini, lagipun menunggu peringkat ini akan hanya melambatkan pelaksanaan projek. Mesyuarat ini penting sebagai punca kuasa sesuatu arahan segera dikeluarkan kepada agensi dan jabatan untuk mempercepat dan melicinkan proses pelaksanaan sesuatu projek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Sanusi, sebelum Datuk Seri Saifuddin Nasution dilantik sebagai Pengerusi Bersama majlis tindakan tersebut selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), jawatan itu dipikul Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dilantik pada Mac 2020.

“Beliau telah menyusun dan memanggil mesyuarat berjadual tiga atau empat kali setahun. Sejak Mei 2020 hingga Oktober 2022, saya telah hadir bermesyuarat sebagai Pengerusi Bersama majlis dengan semua pengarah agensi negeri dan Persekutuan sekurang-kurangnya empat kali dan tidak ada sebarang kebocoran maklumat sepanjang tempoh itu,” ujarnya.

Jelasnya, Saifuddin dilantik sebagai Pengerusi Bersama majlis mewakili kerajaan Persekutuan sejak Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU-15 pada November 2022 dan sejak itu, mesyuarat penting tersebut belum pernah diadakan.

“Alasan kononnya Sanusi suka membocorkan maklumat mesyuarat dalam ceramah politik di cawangan adalah alasan yang tidak masuk akal. Sudah lama sekali ceramah di cawangan tidak diadakan di Kedah ini,” katanya.

Menurutnya, beliau juga sebelum ini hadir bermesyuarat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali tanpa sebarang masalah kerana sedar ‘topi’ apa yang dipakai.

“Saya telah hadir mesyuarat pada peringkat lebih tinggi dan lebih besar bagi negara seperti Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu, Mesyuarat Majlis Kewangan Negara, Majlis Tanah Negara, Majlis Air Negara, Majlis Kerajaan Tempatan, Majlis Perancangan Fizikal Negara dan seumpamanya tanpa sebarang masalah. Tidak ada rahsia kerajaan yang bocor pun,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan sikap Muhammad Sanusi yang didakwa tidak menjaga tertib dan etika mesyuarat menjadi penyebab Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah tidak diadakan lebih setahun.

Pengerusi bersama jawatankuasa itu, Saifuddin berkata, Muhammad Sanusi didapati sering menggunakan maklumat dalam mesyuarat dihadirinya sebagai modal berceramah di pentas politik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI