KANGAR – Keterujaan jelas tergambar pada wajah kalangan murid pada hari pertama persekolahan apabila disambut maskot Mickey Mouse di Sekolah Kebangsaan Seri Indera, di sini hari ini.
Menurut Norernahezreen Hamzah, 40, anak perempuan sulungnya, Nur Saffieya Mikayla Mohamad, Shawal, 7, begitu teruja untuk datang ke sekolah, pagi ini.
“Nur Saffieya dilihat mula teruja sejak minggu lalu dan kegembiraan itu semakin jelas pada Sabtu lepas ketika pendaftaran murid darjah satu berlangsung.
“Pagi ni dia juga sangat gembira melangkah ke alam persekolahan apabila disambut maskot kartun yang menjadi tontonan kegemaran kanak-kanak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Maskot Mickey Mouse itu difahamkan digayakan oleh seorang murid lelaki senior bagi menyambut murid-murid baharu dan mewujudkan rasa seronok ke sekolah.
Tinjauan Kosmo! juga mendapati ramai ibu bapa tidak melepaskan peluang menemani anak-anak mereka serta merakam momen manis murid darjah satu dan prasekolah yang bermula hari ini.
Sementara itu, seorang lagi bapa, Khairul Azhar Abd. Mutalib, 45, berkata, dia dan isteri mengambil cuti untuk menghantar anak tunggal memasuki darjah satu.
“Anak perempuan saya, Naura Nur Khalisyah Khairul Azhar, 7, dilihat begitu teruja untuk ke sekolah bagi berjumpa rakan-rakan baharu di sekolah ini.
“Dia (Naura) juga turut memilih sendiri kasut dan beg sekolah ketika membuat persiapan, malah kami sebagai ibu bapa turut mengambil cuti bagi melihat sendiri gelagat Naura pada hari pertama persekolahannya,” jelasnya.
Tambahnya, ia juga pengalaman penting bagi ibu bapa bagi melihat sendiri suasana yang cukup meriah yang sebelum ini hanya didengari dari mulut orang lain. – KOSMO! ONLINE