fbpx

Bomba diarah keluar selepas berlaku runtuhan dinding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAYANI (tengah) bercakap kepada pemberita di lokasi kebakaran Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi, Ipoh semalam.

IPOH Seramai 15 anggota bomba yang sedang melakukan operasi pemadaman di bahagian dalam Pasar Raya Besar Mydin di Manjoi semalam, diarah segera keluar dari bangunan selepas berlaku runtuhan pada dinding premis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ketika kejadian, anggota yang lengkap berpakaian sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan alat bantuan pernafasan itu berada di tingkat satu di bahagian kiri bangunan.

“Setelah melakukan penilaian risiko, sepasukan anggota telah masuk ke dalam bangunan melalui pintu belakang untuk melakukan pemadaman secara ‘offensive’. Bagaimanapun, 20 minit kemudian, tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan di mana dinding premis bahagian kanan runtuh sepenuhnya dengan api mula marak.

“Demi keselamatan anggota saya telah mengarahkan mereka yang berada di dalam bangunan untuk segera keluar,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kebakaran di sini awal pagi ini.

Menurut beliau, disebabkan struktur bangunan yang tidak selamat untuk dimasuki, pihaknya terpaksa menukar strategi pemadaman termasuk melakukan teknik secara ‘defensive’ atau dari luar.

“Kami menggunakan jentera Aerial Ladder Platform (ALP) bagi melakukan pemadaman bermula dari bumbung yang menempatkan panel solar. Struktur bumbung bangunan telah runtuh dan api merebak ke tingkat satu. Api yang marak dengan cepat berjaya di kawal sepenuhnya oleh pasukan bomba,” katanya.

Mengulas lanjut Sayani berkata, setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa dan kecederaan diterima membabitkan pekerja dan pengunjung dalam kejadian yang dilaporkan pada pukul 7 malam.

Malah katanya, sisa runtuhan yang bertaburan juga didapati tidak mengenai rumah penduduk berhampiran.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan. Pasukan forensik bomba akan masuk ke kawasan ini bagi tujuan siasatan sebaik sahaja proses pemadaman selesai dijalankan. Operasi memadam sepenuhnya kebakaran dijangka mengambil sedikit masa berikutan premis itu mempunyai ‘fire load’ (beban api) yang tinggi,” katanya.

Operasi memadam kebakaran melibatkan 123 pegawai dan anggota daripada bomba, polis, Jabatan Sukarelawan (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Air Perak (LAP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI