PENDIAM dan pasif, itulah yang Mizana Mohamad Madon dapat gambarkan tentang dirinya ketika zaman persekolahan.
Hal itu juga telah membuatkannya tidak berani ke hadapan dan selalu hilang peluang untuk menambah skil komunikasi di depan khalayak ramai.
Mengakui hal tersebut menjadi satu kelemahan buatnya, gadis manis berasal dari Batu Pahat, Johor itu tekad untuk menambah skil bagi membantu diri menjadi lebih yakin dan fasih berkomunikasi.
“Ramai juga yang mengatakan saya naif sampai hendak pandang mata orang pun saya takut ketika zaman persekolahan.
“Apa yang mengubah ‘mindset’ saya adalah ayah saya sendiri.
“Dia beri galakan kepada saya menyertai pelbagai temu duga untuk menambah keyakinan diri.
“Ini kerana, kita tidak tahu rezeki kita di mana. Ia telah mengubah hidup saya,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Kesihatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.
Tambahnya, dia pergi ke beberapa sesi temu duga dan semuanya ditolak.
Secara jujurnya, Mizana yang kini berusia 23 tahun mengakui, dia memang tiada skil bercakap di depan khalayak dan terketar-ketar ketika bercakap.
“Saya memang kecewa kerana tiada satu pun temu duga yang berjaya.
“Namun, saya tidak putus semangat dan setelah beberapa temu duga, akhirnya saya mampu berkomunikasi dengan baik.
“Saya juga diterima bekerja sebagai sekretariat audit dan kualiti di bawah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Itulah permulaan kepada perjalanan kepimpinan pelajar saya,” jelasnya.
Kini, sifat pendiam dan pasif telah tiada dalam diri dan orang melihatnya sebagai seorang yang ‘out-going’ serta pandai berkomunikasi.
Setelah keyakinan itu ada dalam dirinya sewaktu Diploma Mikrobiologi di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, dia telah bertanding bagi MPP.
Ini kerana, dia ingin membantu pelajar semasa pandemik dengan menggalas jawatan sebagai Naib Yang di-Pertua MPP.
Ketika itulah permulaan di mana dia berminat untuk menjadi pengacara majlis.
“Saya juga diberi peluang untuk memberi ceramah atau ditemu-ramah di beberapa majlis seperti Talk Show: Women’s Empowerment anjuran Jawatankuasa Perwakilan Komander UiTM Kampus Kuala Pilah, Forum Antarabangsa Masmed Cakna Serumpun dan beberapa lagi.
“Setelah itu, saya menyambung pengajian di UiTM Puncak Alam ini.
“Ketika di sana, saya mengambil kesempatan untuk menyertai Jawatankuasa Perwakilan Kolej sebagai Exco Aduan dan Kebajikan seterusnya sebagai Naib Yang di-Pertua 2 bagi membantu rakan-rakan kolej.
“Selain itu, saya menyertai YouthCare Malaysia kerana yakin tugas membantu komuniti adalah tanggungjawab anak muda seperti saya,” terangnya.
Tambahnya, dia juga diberi peluang menjadi pengacara di beberapa majlis seperti majlis formal dan tidak formal sama ada di luar atau dalam universiti.
Ketika ditanya sebab aktif berpersatuan ketika di kampus, dia memaklumkan, ia disebabkan pengaruh ibunya.
Menurut Mizana, ibunya merupakan seorang guru yang amat baik dan sayang kepada anak muridnya.
“Setiap minggu, pasti ada cerita baharu mengenai anak murid ibu, ada yang sedih, gembira dan macam-macam lagi.
“Paling saya ingati, ibu saya sering membantu anak muridnya yang hidup susah dengan membayar makanan mereka atau memberi hadiah pakaian dan makanan.
“Dia memang tak pernah lokek bersedekah dan membantu muridnya. Oleh itu, saya percaya kita perlu membantu mereka memerlukan,” katanya.
Situasi itu dapat dikaitkan semasa Mizana perlu bertanding menjadi wakil pelajar semasa permulaan pandemik Covid-19.
Pada awalnya, dia tidak yakin, namun setelah melihat rakan-rakan memerlukan seorang wakil yang boleh membawa suara mereka ke pihak pengurusan, Mizana terus mengisi borang MPP.
Niat membantu mahasiswa membawa kepada keputusan untuk kekal aktif dalam persatuan yang dekat dengan pelajar iaitu MPP dan Jawatankuasa Perwakilan Kolej.
Sementara itu, Mizana menyatakan, dia juga sebenarnya mempunyai impian untuk berbakti kepada komuniti.
“Saya mengimpikan untuk menyediakan satu platform yang boleh membantu komuniti kurang berkemampuan menyambung pelajaran.
“Saya mahu membantu anak-anak lorong atau yatim piatu bersekolah. Saya percaya setiap manusia berhak mendapat pelajaran,” jelasnya.