KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan sebanyak RM9.33 juta bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Kem Perdana Sungai Besi bagi tahun 2024.
Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri berkata, pihaknya optimis terhadap peruntukan itu akan dapat memberi sinar keselesaan kepada anggota-anggotanya.
Menurutnya, peruntukan yang diterima semalam adalah yang tertinggi pernah diterima oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) setakat ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan RKAT.
“Ia merupakan peningkatan 100 peratus berbanding peruntukan senggaraan tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM4.6 juta.
“Pastinya, jumlah ini adalah hasil keprihatinan dan kepekaan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terhadap cabaran yang dihadapi oleh warga tentera darat. Terima kasih sekali lagi kami ucapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada lawatan kerja ke RKAT, Desa Tun Abdul Razak (DTAR), Kem Perdana Sungai Besi di sini semalam.
Lawatan Menteri Pertahanan ke RKAT DTAR turut disambut oleh pegawai-pegawai kanan Kem Perdana Sungai Besi.
Satu sesi taklimat secara lisan telah disampaikan oleh Pegawai Memerintah 94 Unit Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan (UPKAT), Kolonel Nik Amir Nik Ya’acob, selain itu beliau juga dibawa untuk melawat dan melihat sendiri kondisi dan keadaan persekitaran semasa bangunan RKAT E1 yang didiami oleh warga penghuni.
Semasa sesi lawatan itu, Mohamed Khaled telah berkesempatan untuk menyempurnakan majlis penyerahan mock cheque Peruntukan Senggaraan Tahun 2024 RKAT Kem Perdana Sungai Besi berjumlah RM9.33 juta kepada Panglima Medan Barat Tentera Darat.
Peruntukan yang diterima itu akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan projek senggaraan meliputi senggaraan dan pembaikan rumah kediaman sebanyak 937 buah serta senggaraan sivil di kawasan am yang merangkumi pembaikan terhadap bumbung bangunan.
Skop senggaraan mekanikal itu meliputi pendawaian semula elektrikal, kawasan bawah rumah meliputi bilik pam, bilik sesalur elektrik dan sesalur air.
Jangkaan pelaksanaan projek senggaraan itu akan dilaksanakan bermula pertengahan bulan April depan.
Sementara itu, Mohamed Khaled ketika memberi ucapan pada Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) berkata, MINDEF komited dalam membangunkan satu ekosistem pendidikan dan kebajikan yang lengkap dalam ATM.
“Apabila saya mengambil alih tampuk kepimpinan Kementerian Pertahanan, saya tekad agar aspek pendidikan dan kebajikan menjadi keutamaan kementerian ini.
“Sama ada yang disediakan terus kepada perajurit yang sedang berkhidmat atau kepada ahli keluarga mereka khususnya anak-anak yang sedang bersekolah,” katanya.
Jelas beliau, MINDEF sentiasa menumpukan tekad kepada usaha besar meliputi kebajikan dan kemaslahatan warganya.
Tambah beliau, aspek kebajikan warga ATM adalah menjadi teras utama yang dititikberatkan dalam menjamin tahap kesejahteraan warga sentiasa terpelihara dan memiliki moral yang tinggi dengan kualiti hidup yang sejahtera. -KOSMO! ONLINE