fbpx

Jelajah BPN Bersatu di Selangor bukan kempen PRK – Azmin Ali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Azmin beramah mesra dengan orang ramai pada program itu di Kampung Permatang, Kuala Selangor, hari ini. -Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED/ KOSMO!

KUALA SELANGOR – Program Jelajah Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor bukannya kempen persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengerusi Bersatu negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan ura-ura itu susulan tindakan dua pemimpin parti berkenaan yang menyokong kepimpinan kerajaan Madani baru-baru ini.

Tegas beliau, objektif utama pelaksanaan program itu bertujuan memperkukuhkan jentera parti bersama Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.

“Kami mahu membuktikan komitmen parti untuk terus berjuang demi rakyat dan menghadapi segala faktor kemungkinan.

“Saya datang (program BPN) bukannya untuk berkempen menghadapi PRK namun fokus utama adalah menjelajah di seluruh Selangor,” katanya ketika ditemui pada program itu di Kampung Permatang di sini, hari ini.

Bulan lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga Ketua Bersatu bahagian itu, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menjadi pemimpin blok pembangkang terbaharu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia disusuli tindakan bekas pengerusi Bersatu Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, minggu lalu.

Jelas Mohamed Azmin, jelajah itu dilaksanakan pihaknya bermula di Kota Raja, Klang minggu lalu dan akan diperluaskan di seluruh daerah.

Ketua Pembangkang Selangor itu berkata, parti itu bagaimanapun bersedia menghadapi kemungkinan berlakunya PRK di Parlimen Tanjong Karang.

“Ini membuktikan komitmen parti untuk membantu Bersatu dan PN, walaupun matlamat asal jelajah ini adalah untuk perkukuh jentera parti,” ujarnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI