IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang menunggu keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Selangor berhubung pelaksanaan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri itu.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, keputusan yang dicapai dalam MMK itu bagi membolehkan pihaknya mengambil langkah seterusnya termasuk melakukan rundingan secara terperinci.
“Saya sendiri telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda berkenan untuk Selangor mengguna pakai Akta 672.
“Kita sedang tunggu keputusan MMK dari kerajaan negeri Selangor untuk mulakan rundingan secara terperinci,” katanya pada Majlis Pelancaran Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) @ Rumah Pangsa Jalan Hospital di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, selain Selangor, perbincangan aktif bagi Akta 672 turut dijalankan bersama kerajaan Pulau Pinang.
Katanya, setakat ini terdapat tujuh buah negeri telah menggunakan akta tersebut iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sekiranya Selangor dan Pulau Pinang bersetuju, maka kita akan ada sembilan negeri yang menerima pakai Akta 672.
“Kita turut mengalu-alukan kerajaan negeri lain termasuk Perak untuk terus berunding supaya kerjasama strategik antara kerajaan Persekutuan dan negeri ini akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE