fbpx

Anwar adakan lawatan rasmi lima hari ke Jerman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Jerman selama lima hari bermula hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pada lawatan rasmi tersebut Anwar akan disertai Menteri Luar, Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Kata kenyataan itu, Anwar akan bertemu rakan sejawatnya Canselor Jerman, Olaf Scholz dengan kedua-dua pemimpin akan membincangkan kemajuan hubungan Jerman-Malaysia.

“Antaranya yang akan dibincangkan berhubung bidang ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Perdana Menteri juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier,” kata kenyataan itu.

Jelas Wisma Putra, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Korber Foundation, satu organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada isu sosial dan politik.

“Perdana Menteri juga akan menyampaikan ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran German Association of Small and Medium-sized Businesses (Bundesverband mittelsandische,” ujarnya.

Katanya, Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dengan kapten-kapten industri dan para pelabur berpotensi dari Eropah, sesi wawancara dengan media tempatan selain menghadiri majlis berbuka puasa bersama diaspora Malaysia di Jerman.

Perdana Menteri juga akan mengadakan lawatan ke Hamburg bagi menghadiri East Asia Friendship Dinner ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran German Asia-Pacific Business Association, di mana beliau dijadual untuk menyampaikan ucaptama.

“Beliau juga dijangka ditemuramah eksklusif bersama kepada agensi akhbar Jerman,” katanya.

Wisma Putra berkata, lawatan rasmi ini dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama pelbagai bidang di antara Putrajaya dan Berlin.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah sejak tahun 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar bagi Republik Persekutuan Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada tahun 2023, nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (USD13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (USD13.62 bilion) pada tahun 2022. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI