KOTA KINABALU – Sabah mencadangkan kerajaan Persekutuan membenarkan kerajaan negeri melaksanakan seluruh pakej Lebuh Raya Pan Borneo secara Inisiatif Kewangan Swasta (PFI).
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, cadangan itu bagi memastikan agar projek Lebuh Raya berkenaan dapat diteruskan tanpa sebarang masalah.
“Setakat ini, projek Pan Borneo di Sabah hanya siap sekitar 25 peratus berbanding Sarawak yang sudah mencapai 60 peratus.
“Hal ini seperti menunjukkan pakej pembinaan itu tidak akan menjadi realiti di negeri ini, ” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sekiranya hanya peruntukan sebanyak RM460 juta sahaja diberikan untuk satu pakej, pastinya hasrat rakyat Sabah untuk menikmati sebuah Lebuh Raya yang lebih baik dan selesa tidak akan menjadi kenyataan sebaliknya menjadi mimpi ngeri.
Terdahulu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan kerajaan Pusat komited untuk meneruskan pelaksanaan 15 pakej kerja Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah yang menelan belanja RM10.12 bilion.
Kerajaan persekutuan juga sudah memutuskan bahawa Kementerian Kerja Raya Sabah sebagai pemilik projek dan Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai pegawai pengawas (SO) untuk memastikan kelancaran pelaksanaan projek dari segi operasi. – K! ONLINE