RIYADH – Mahkamah Agung Arab Saudi menggesa umat Islam di negara itu untuk cuba melihat anak bulan Ramadan pada petang Ahad, 10 Mac 2024 bersamaan 29 Syaaban 1445 menurut kalendar Islam, lapor akhbar Arab News semalam.
Sekiranya anak bulan Ramadan kelihatan pada tarikh tersebut, maka umat Islam di Arab Saudi akan mula berpuasa pada Isnin, 11 Mac atau hari Selasa, jika sebaliknya.
Mahkamah berkenaan meminta sesiapa sahaja yang dapat melihat anak bulan Ramadan dengan mata kasar atau menggunakan teropong untuk segera memaklumkan kepada pihaknya.
Pihak mahkamah akan menghantar kakitangan untuk merekodkan keterangan mereka dan melihat anak bulan di lokasi tersebut, lapor agensi berita Saudi Press.
Pihak berkuasa yang melihat anak bulan Ramadan di Arab Saudi biasanya melakukan pemerhatian pada hari menjelang tarikh permulaan puasa.
Bagaimanapun, umat Islam yang ingin melihat sendiri anak bulan itu digalakkan untuk berbuat demikian. – AGENSI