Bekas pemain kebangsaan, Mat Zan Mat Aris berharap semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada ketua jurulatih, Kim Pan-gon menjalankan tugasnya dalam usaha membantu Harimau Malaya layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 nanti.
Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya kini berada dalam landasan terbaik untuk meraih slot ke pusingan ketiga selepas mendahului carta Kumpulan D kempen kelayakan kedua Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 nanti.
Cabaran pasukan kebangsaan kembali bersambung apabila dijadualkan menentang pilihan utama daripada Asia Barat iaitu Oman pada 22 Mac dan 26 Mac ini.
Kata Mat Zan, jurulatih dari Korea Selatan itu telah memanggil pemain yang dilihat berpotensi untuk membantu pasukan meraih keputusan positif pada dua perlawanan itu nanti.
“Pan-gon pasti ada perancangan sendiri dan mengenal pasti pemain-pemain yang dilihat sesuai untuk mewakili skuad kebangsaan. Kita boleh lihat pasukan ketika ini berada di landasan yang tepat.
“Mungkin tanda tanya yang timbul ketika ini adalah kesuntukan masa untuk buat persiapan memandangkan kita bakal menentang pasukan yang menduduki ranking lebih tinggi (Oman di kedudukan No.80 dunia).
“Saya jangka ia bakal menjadi perlawanan yang sukar, tetapi jika kita dapat melakukan persiapan dengan baik, tiada apa yang mustahil,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad.
Skuad kebangsaan yang menduduki ranking No.132 dunia telah mencipta kejutan dengan meraih mata maksimum selepas menewaskan Kyrgyzstan dan Taiwan dalam dua perlawanan awal Kumpulan D pada November lalu.