PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan keadaan lalu lintas sepanjang bulan Ramadan berada di tahap tertinggi pada pukul 5 hingga 6 petang.
PLUS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyarankan semua pengguna supaya merancang perjalanan dan mengelak bergerak pada waktu puncak untuk keselesaan.
“PLUS akan mengambil beberapa langkah merangkumi persediaan operasi di plaza tol, lebuh raya dan kawasan rehat bagi melancarkan perjalanan dan pergerakan orang ramai untuk pulang berbuka puasa.
“Langkah ini termasuk menyediakan alat bantuan mudah alih pembaca pembayaran tol dan alat bantuan sokongan di plaza tol dan memastikan semua lorong masuk serta keluar di plaza tol beroperasi sepenuhnya.
“Semua kerja selenggara di plaza tol juga ditamatkan sebelum pukul 4.30 petang bagi mengelakkan sebarang gangguan kelancaran, menambah jumlah kakitangan dan meletakkan pasukan bantuan teknikal dalam keadaan bersiap sedia,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan beroperasi sepenuhnya untuk menampung keperluan yang tinggi ketika waktu puncak.
“PLUS turut mengingatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad Touch ‘n Go atau e-dompet bagi mereka yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) mempunyai baki mencukupi.
“Pengguna digalakkan memuat turun aplikasi PLUS bagi memudahkan mereka merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya,” katanya
Tambahnya, secara alternatif, pengguna boleh mengikuti laporan trafik terkini menerusi aplikasi X @PLUSTrafik, Chatbot PUTRI, saluran radio utama negara serta papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih.
Orang ramai turut disaran menggunakan aplikasi Waze atau Google Maps untuk mendapatkan pelan perjalanan dengan lebih baik. – KOSMO! ONLINE