PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 2.264 juta liter diesel bersubsidi bernilai RM5.391 juta sejak 1 Januari hingga 6 Mac lalu menerusi Ops Tiris 3.0.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, ia hasil pemeriksaan pihaknya terhadap 9,093 premis dengan 245 kertas sisatan dibuka sepanjang tempoh tersebut.
“Dalam tempoh sama, nilai rampasan yang melibatkan lain-lain peralatan, kenderaan dan sebagainya bernilai RM12,461,938 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan di bawah Ops Tiris 3.0 bagi kes-kes melibatkan diesel ialah RM17,853,344 juta,” katanya dalam kenyataan tadi.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan dan syor hasil dapatan diperoleh sepanjang pelaksanaan Ops Tiris kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sebagai pengukuhan mekanisme kawalan pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan.
Jelasnya, laporan dan syor ini merupakan penemuan-penemuan penting yang diperolehi sepanjang pelaksanaan Ops Tiris sejak 1 Mac tahun lepas sehingga kini.
“Pelaksanaan pemberian diesel bersubsidi kepada nelayan merupakan salah satu fokus penguatkuasaan dalam menangani ketirisan subsidi diesel.
“Ia melibatkan risiko ketirisan dengan penjualan diesel bersubsidi kepada sektor industri yang tidak bekelayakan dan penyeludupan kepada nelayan asing.
“KPDN akan memperkukuhkan kerjasama dengan KPKM dan agensi-agensi penguatkuasaan yang berkaitan,” ujarnya.
Armizan berkata, mana-mana orang yang melakukan kesalahan melibatkan penyelewengan diesel boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Selain itu, individu atau syarikat yang terlibat akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Ia melibatkan kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel,” katanya. – KOSMO! ONLINE