JERANTUT – Seorang pemandu lori balak yang sedang mengikat kayu balak di atas lorinya maut selepas terjatuh dan digilis sebuah jentera berat di kawasan matau balak Kilometer 26 Jalan Jerantut- Padang Piol di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azman Mat Kamis berkata, kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu menyebabkan mangsa, Saifulnizam Zakaria, 41, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, kemalangan berlaku semasa pemandu lori sedang mengikat balak yang berada di atas lori treler jenis Nissan dengan menggunakan rantai besi.
“Semasa mangsa sedang mengikat balak tersebut, dia tergelincir dan terjatuh di belakang kenderaan lori trelernya,” katanya di Ibu Pejabat polis Daerah di sini hari ini.
Menurut Azman, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 304 A Kanun Keseksaan.
Katanya, berdasarkan siasatan awal pemandu jentera berat (Backhoe loader) sedang menjalankan kerja mengangkat balak tidak menyedari mangsa berada di belakang jentera berat itu.
“Lokasi kejadian merupakan jalan tidak berturap (tanah merah) dan semasa permukaan jalan kering dan tidak rata dengan keadaan cuaca baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE