PETALING JAYA – Penyanyi Ashira menjelaskan, dia tidak kisah dikritik susulan baju yang digayakan pada konsert separuh akhir Gegar Vaganza 7 (GV7) kelmarin dikatakan mencolok mata.
Ashira atau nama sebenar, Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz, 34, berkata, idea asal rekaan baju itu diambil daripada baju yang pernah digayakan oleh penyanyi antarabangsa terkenal, Gwen Stefani.
“Saya jadikan Stefani rujukan untuk lagu kedua semalam (kelmarin) iaitu Don’t Speak sebab dia selalu mengguna bunga-bunga ros dalam setiap persembahannya, jadi itu yang saya cuba letakkan pada baju tersebut.
“Tidak sangka pula rekaan ini disalah tafsir oleh netizen, tetapi saya sedar yang pemikiran dan anggapan setiap orang berbeza. Saya tak ‘koyak’ pun,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ashira berkata, dia juga tidak membaca semua komen negatif yang dilemparkannya netizen.
“Pada mulanya saya ingat orang marah sebab tiru Stefani, tetapi rupa-rupanya kerana taburan bunga pada baju, lucu!,” ujarnya.
Sementara itu, pereka fesyen, Jimmy Couture berkata, busana yang digayakan Ashira pada konsert itu kelmarin merupakan cetusan idea peserta itu sendiri.
“Maaflah jika baju ini seperti melebih-lebih. Terima kasih kepada yang memberi komen positif dan negatif,” katanya di akaun Instagram semalam.
Ashira dan enam lagi peserta berjaya melangkah ke pentas akhir GV7 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Ahad ini.
Pertandingan itu bakal menyaksikan pertarungan tujuh penyanyi hebat iaitu Ashira, Linda Nanuwil, Muss, Oja, Cliff Umar, Ayu Damit dan Noraniza Idris.-K! ONLINE