fbpx

Mekanik edar hampir 200kg syabu dihukum gantung sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tai Chee Khiong ketika dihadapkan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini. -Foto IVAN AMIRUL/ KOSMO!

TAWAU – Seorang mekanik dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas dia didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine hampir 200 kilogram, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng menetapkan keputusan itu terhadap Tai Chee Khiong, 51, selepas mengambil kira jumlah berat dadah terbesar di Sabah.

Hock Leng ketika membacakan keputusan berkata, tertuduh mempunyai pengetahuan dan milikan secara langsung terhadap dadah seberat 199,950.01 gram dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Katanya, jika mengambil kira berat dadah bagi semua kes mahkamah di Tawau untuk tempoh tiga tahun, ia tidak menyamai jumlah tangkapan dadah membabitkan kes tertuduh.

Jelasnya, tertuduh juga tidak menunjukkan sebarang penyesalan atas kesalahan yang dilakukan dan hanya mendiamkan diri apabila diberi peluang bercakap di Mahkamah sebelum hukuman dibacakan.

Mahkamah juga mendapati pihak pembelaan dalam hujahnya hanya menyentuh mengenai kesalahan pertama tertuduh tanpa menyatakan apa-apa mengenai kekesalan anak guamnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Kampung Batu Payung dalam daerah Tawau, pada 6 September 2021, pukul 7.30 malam.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain bersama Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Achok.

Hurman dalam hujahnya berkata, meskipun keputusan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan adalah tertakluk kepada budi bicara mahkamah, namun pihaknya berharap agar hukuman mati dikenakan terhadap tertuduh atas faktor jumlah berat dadah dan kepentingan awam.

Sepanjang prosiding perbicaraan, pihak pendakwaan telah mengemukakan lima orang saksi manakala seorang saksi bagi pihak pembelaan iaitu tertuduh sendiri.

Untuk rekod, sabitan kes ini adalah kes pertama Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman mati selepas pemansuhan hukuman mati mandatori yang berkuatkuasa 4 Julai 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI