HULU TERENGGANU – Tempoh 27 tahun bukanlah masa yang singkat tetapi seorang tukang rumah tetap tabah dan setia menjaga isterinya yang terlantar sakit.
Ramli Hassan, 55, berkata, isterinya, Normah Mamat, 53, terlantar sakit akibat komplikasi selepas melahirkan anak kedua mereka.
“Badan isteri kerap mengigil kesejukan tidak lama selepas melahirkan anak 27 tahun lalu.
“Sejak itu kesihatannya merosot sehingga dia tidak lagi mampu bertutur dan berjalan sehingga kini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Pantai Ali di sini semalam.
Ramli berkata, usaha untuk mengubati penyakit Normah sama ada secara moden mahu pun tradisional belum berhasil.
Tambahnya, segala keperluan isteri diurus oleh saya daripada menyuapkannya makan hingga membersihkan diri.
“Sepanjang tempoh hampir tiga dekad ini, saya hanya mengambil upah sebagai tukang rumah di kawasan dekat dengan rumah supaya mudah menjaga isteri dan anak-anak yang kini berusia 27 dan 29 tahun,” ujarnya.
Ramli memberitahu, biarpun apa pun kondisi isterinya, perasaan cinta dan kasih sayang terhadap wanita itu tidak pernah berkurang.
Dia juga tidak pernah putus harapan agar Normah akan pulih sepenuhnya suatu hari nanti.
“Alhamdulillah rezeki kami sekeluarga hasil kerja sebagai tukang rumah dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan mencukupi.
“Banyak pihak yang bersimpati mahu menghulurkan bantuan tapi saya tolak dengan baik. Kehidupan kami setakat ini masih memadai,” katanya.-K! ONLINE