KAHERAH – Delegasi Hamas menamatkan rundingan gencatan senjata bersama Israel dalam perkembangan yang bakal menyaksikan tiada jeda keganasan pada Ramadan kali ini, lapor saluran berita ABC kelmarin.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Hamas, Hussam Badran dalam satu kenyataan.
Dalam rundingan yang berlangsung di Kaherah itu, Israel menolak kebanyakan permintaan Hamas termasuk tuntutan gencatan senjata kekal dan kumpulan tersebut kekal menguasai Semenanjung Gaza.
Menurut Hussam, pendirian negatif Rejim Zionis menyebabkan rundingan itu gagal mencapai persetujuan.
Bagaimanapun, Duta Amerika Syarikat (AS) ke Israel, Jack Lew berkata kelmarin bahawa adalah satu kesilapan untuk menganggap rundingan mengenai pembebasan tebusan dan gencatan senjata di Gaza sudah berakhir.
“Terdapat perbincangan yang masih diteruskan. Perbezaan sedang cuba diatasi tetapi persetujuan belum dicapai sedangkan Ramadan semakin menjelang
“Saya tidak boleh katakan kepada anda bahawa rundingan ini akan berjaya tetapi ia belum berkubur,” kata Lew.
AS mendesak semua pihak terbabit dalam rundingan kali ini supaya mencapai persetujuan sebelum Ramadan bermula sama ada pada 10 atau 11 Mac ini, namun kemungkinan perkara itu dicapai dilihat tipis.
Beberapa pegawai berkata, Washington dan Tel Aviv memberi tumpuan kepada fasa satu dalam pakatan tiga langkah iaitu pertukaran beberapa puluh tebusan Israel yang ditawan Hamas untuk gencatan senjata selama sekurang-kurangnya enam minggu.
Menurut mereka, persetujuan itu membolehkan sebilangan tebusan yang paling lemah pulang ke Israel dan membolehkan peningkatan dramatik bantuan memasuki Semenanjung Gaza.
Perang berterusan di Gaza berlaku selepas Hamas melancarkan serangan rentas sempadan ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023 dalam kejadian yang menyebabkan kira-kira 1,200 warga Israel terbunuh dan 200 yang lain dijadikan tebusan, demikian menurut Tel Aviv.
Sementara itu, ketika kematian akibat kebuluran terus meningkat di Gaza, Program Makanan Sedunia(WFP) mempunyai bekalan makanan mencukupi untuk memberi makan ‘seluruh populasi Palestin’, kata Pengarah Darurat WFP, Samer AbdulJaber.Gaza’,
Menurutnya, bekalan makanan yang menimbun sedang menunggu di luar Semenanjung Gaza.
Sekurang-kurangnya 20 orang telah meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan dan dehidrasi ketika perang berterusan antara Hamas-Israel, demikian menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
“Kami memerlukan lintasan darat, kami memerlukan akses untuk memasuki Gaza sama ada dari selatan atau utara Gaza kerana situasi kini amat dahsyat. Justeru, mendapat akses menjadi keutamaan nombor satu kami,” katanya.
Sebahagian besar daripada kira-kira 2.3 juta penduduk Gaza dibelenggu kelaparan.
Pengarah Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ramesh Rajasingham berkata, satu perempat populasi Gaza atau bersamaan kira-kira 576,000 orang berada dalam situasi ‘selangkah sebelum kebuluran’. – AGENSI