KAMPAR – Seorang pemandu lori lima tan tersepit di bahagian pemandu dalam kemalangan membabitkan sebuah kontena di KM 294 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Utara di sini pada pukul 4.52 pagi tadi.
Ia merupakan kemalangan kedua melibatkan lori yang berlaku di sekitar lokasi sama tidak sampai 24 jam.
Terdahulu, kemalangan yang berlaku semalam melibatkan dua treler menyebabkan dua maut di KM 294.8.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pemandu lori lima tan itu telah melanggar bahagian belakang lori kontena.
“Impak pelanggaran itu menyebabkan pemandu lori lelaki berusia 39 tahun itu tersepit di bahagian pemandu.
“Anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan sebelum dibawa ke hospital terdekat dengan ambulans untuk mendapat rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE