MANCHESTER – Manchester United terus dirundung malang apabila duo serangan, Anthony Martial dan Edinson Cavani tidak akan diturunkan pada aksi Liga Juara-Juara menentang RB Leipzig di Red Bull Arena awal pagi esok.
Ketiadaan dua penyerang berkenaan memberi tamparan hebat buat United yang berkemungkinan tersingkir daripada saingan sekiranya tewas pada aksi terakhir peringkat kumpulan itu.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui ketiadaan dua pemain itu bakal merencatkan perancangannya berdepan Leipzig, namun menegaskan pemain-pemain lain mampu mengisi posisi berkenaan.
“Kami hilang khidmat Anthony (Martial) dan Edinson (Cavani) pada perlawanan itu nanti. Saya harap kecederaan mereka tidak serius dan kembali cergas dengan segera.
“Walaupun mereka berdua tidak akan diturunkan ketika berdepan Leipzig tetapi saya yakin pemain-pemain lain mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan,” kata pengendali dari Norway itu.
Meskipun United dianggap sebagai pasukan pilihan pada perlawanan itu, namun Leipzig yang turun sebagai tuan rumah pastinya tidak akan memberi laluan mudah buat mereka.
Lebih menarik, Leipzig dijangka memberikan segala-galanya pada perlawanan itu bagi menebus kekalahan 0-5 sebelum ini selain mahu melayakkan diri ke pusingan kedua Liga Juara-Juara. – AGENSI