fbpx

Bilangan penganggur menurun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan bilangan penganggur pada bulan Januari terus menurun kepada 567.3 ribu orang, dengan kadar pengangguran 3.3 peratus pada hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara kekal dalam trend menaik, selari dengan kedudukan ekonomi negara yang terus meningkat dan sejajar dengan perkembangan ekonomi global.

“Oleh itu, tenaga buruh pada bulan Januari 2024 menunjukkan peningkatan yang berterusan, bertambah sebanyak 0.1 peratus kepada 17.05 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Disember 2023: 17.03 juta orang).

“Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan tersebut tidak berubah iaitu pada 70.2 peratus, seperti pada bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, trend positif itu didorong oleh peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur menurun.

“Statistik Tenaga Buruh menunjulkan bilangan penduduk bekerja terus meningkat, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus daripada bulan sebelumnya merekodkan 16.48 juta orang (Disember 2023: 16.46 juta).

“Sementara itu, bilangan penganggur terus menurun, dengan sedikit pengurangan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 567.3 ribu orang (Disember 2023: 567.8 ribu orang),” jelasnya.

Katanya, kadar pengangguran bulan Januari kekal pada 3.3 peratus seperti direkodkan pada bulan sebelumnya.

Mengulas lanjut mengenai situasi guna tenaga katanya, majoriti penduduk bekerja pada bulan Januari 2024 adalah dalam kategori pekerja, merangkumi 75.2 peratus.

“Kategori ini menunjukkan peningkatan kecil iaitu sebanyak 0.1 peratus, kepada sejumlah 12.39 juta orang berbanding 12.38 juta pada Disember 2023.

“Pada masa yang sama, kategori penduduk bekerja sendiri terus mencatatkan trend peningkatan pada bulan tersebut, naik sebanyak 0.3 peratus kepada 3.01 juta orang (Disember 2023: 3.0 juta orang),” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI