PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi sumbangan ‘Back to School’ kepada anak-anak pemandu teksi di sekitar Lembah Klang, semalam.
Sumbangan itu diserahkan oleh Setiausaha Politiknya, Farhan Fauzi dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang SeMalaysia (GTSM).
“Alhamdulillah dengan kerjasama GTSM yang diketuai Kamarudin Mohd Hussain membolehkan sumbangan kali ini diberikan kepada anak-anak kepada pemandu teksi sekitar Lembah Klang.
“Saya mendoakan agar anak-anak berjaya dalam pelajaran mereka, insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berada di Australia bagi lawatan rasminya ke negara tersebut atas jemputan rakan sejawatnya iaitu Anton Albanese.
Turut serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. – KOSMO! ONLINE