fbpx

Pengarah syarikat dituduh kemuka invois palsu beli diesel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yong Keong (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini. Foto SITI NUR MAS ERAH AMRAN

SEBERANG PERAI – Pengarah syarikat pembekalan minyak diesel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan maklumat palsu dan enggan mengemukakan maklumat diperlukan berhubung pembelian diesel, tahun lalu.

Lai Yong Keong, 45, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh selaku pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel didapati dalam pengetahuan telah memberikan maklumat palsu dalam borang Arahan Mengemukakan Maklumat berhubung sembilan invois atau resit pembelian minyak diesel.

Kesalahan itu dilakukannya pada 18 Februari 2023 pada pukul 10.30 pagi di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Tingkat 2, Kompleks Sempilai Jaya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta yang sama.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, dia didakwa enggan mengemukakan maklumat berkaitan dokumen iaitu penyata kewangan bank di bawah sebuah syarikat pembekalan minyak seperti yang diminta Pegawai Bekalan melalui borang Arahan Mengemukakan Maklumat Barang Kawalan Di Bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara 17 Februari hingga 10 Mac 2023 di lokasi yang sama.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Sementara itu, dalam prosiding sama, syarikat sama milik tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama di lokasi dan masa yang sama mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Oleh itu, tertuduh sebagai pengarah syarikat menurut Seksyen 22 (4) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang disifatkan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) akta sama.

Yong Keong bagaimanapun turut mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Noor Aini.

Syarikat itu berdepan hukuman denda maksimum RM2 juta bagi setiap pertuduhan dan kesalahan kali kedua atau kesalahan berulang denda maksimum RM5 juta.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi dan Nor Alimah Mohd. Sanusi manakala tertuduh diwakili peguam, Muhamad Asri Abdul Hamid.

Hakim Noor Aini kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi setiap kes dan membenarkan syarat tambahan seperti yang dipohon pihak. Sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan pada 19 April depan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI