KLANG – Kegiatan sepasang suami isteri menyewa rumah bagi membungkus pelbagai jenis dadah sejak enam bulan lalu tumpas selepas mereka dicekup polis di sekitar daerah ini, minggu lalu.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditangkap ketika membuat pembungkusan di kediaman teres berkenaan, kira-kira pukul 2.20 pagi, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya hasil maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah.
“Pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua ketulan mampat ganja, 600 paket heroin dan 15 paket syabu yang kesemuanya seberat lebih satu kilogram.
“Selain itu, kita merampas satu penimbang digital, plastik pembungkusan dan sejumlah wang dengan nilai keseluruhan kira-kira RM60,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini, hari ini.
Jelas Hoong Fong, siasatan awal mendapati pasangan itu telah bergiat aktif selama enam bulan dengan bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari negara ini.
Ujian saringan air kencing ke atas mereka didapati negatif namun semakan mendapati suspek lelaki memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE