KUALA LUMPUR – Langkah beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada Kejohanan Badminton Terbuka Perancis tersekat di pusingan kedua selepas tewas 18-21, 14-21 kepada Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China.
Kekalahan itu menyaksikan Tang Jie-Ee Wei gagal mengekalkan rentak konsisten ketika mereka muncul naib juara pada kejohanan Thailand Masters yang berlangsung di Bangkok penghujung Januari lalu.
Biarpun pernah menewaskan Yan Zhe-Dong Ping pada Terbuka Thailand tahun lalu, namun aksi hari ini menyaksikan pilihan keempat itu berada dalam kelas tersendiri untuk mencatat kemenangan kedua ke atas Tang Jie-Ee Wei.
Setakat lima kejohanan yang disertai Tang Jie-Ee Wei musim ini, mereka terkandas di pusingan kedua sebanyak empat kali, iatu pada Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Terbuka Perancis.
Sementara itu, menanti Yan Zhe-Dong Ping di suku akhir esok adalah pemenang di antara beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun yang akan turun menentang pasangan Singapura, Terry Hee-Jessica Tan sebentar lagi. – KOSMO! ONLINE