MULAI 21 Disember ini, 8 juta pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang pendapatan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19 boleh memohon skim i-Sinar secara dalam talian melalui dua kategori yang telah ditetapkan.
Kategori 1 adalah terdiri daripada pencarum yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji, manakala bagi kategori 2 membabitkan mereka yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan sebanyak 30 peratus.
Bagaimanapun penulis tidak mahu membicarakan mengenai skim i-Sinar yang boleh dipohon itu, sebaliknya ingin mengajak semua untuk merenung sejenak tentang satu kes yang menimpa seorang sahabat saya.
Sahabat ini sebenarnya telah kehilangan kerja pada penghujung 2018 iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda lagi. Beliau yang ketika itu berumur 52 tahun telah dijanjikan sejumlah pampasan daripada pihak majikan, namun dia hanya mendapat sebahagian daripada jumlah yang dijanjikan itu.
Ekoran keadaan itu, kehidupannya mula bermasalah. Dia gagal melunaskan pinjaman perumahannya kepada pihak bank, malah bayaran ansuran keretanya turut tidak secantik biasa.
Keadaan bertambah gawat untuknya apabila Covid-19 melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai Mac lalu sehingga dia terpaksa dibantu oleh pihak pengurusan surau dan penduduk setempat untuk meneruskan kehidupan.
Akibatnya, surat-surat peguam mula sampai ke rumah, manakala jumlah hutang rumah sahabat ini yang pada mulanya hanya tinggal sekitar RM80,000, kini telah meningkat kepada kira-kira RM100,000 gara-gara bayaran balik yang sering tertunggak.
Ekoran kesukaran hidup yang dialami, sahabat ini mengambil keputusan untuk menjual rumahnya daripada dilelong kerana kerja gaji hari yang dilakukan tidak mampu membayar segala hutangnya.
Bagaimanapun, atas nasihat rakan-rakan, dia cuba bertahan untuk tidak menjual rumah itu kerana umurnya untuk mencapai usia 55 tahun dan melayakkan dia mengeluarkan caruman KWSP hanya tinggal kira-kira 8 bulan sahaja lagi.
Isunya sekarang, bersediakah KWSP membenarkan sahabat ini mengeluarkan wang carumannya lebih awal daripada tarikh yang sepatutnya sekaligus menyelamatkan rumah sahabat ini daripada dilelong serta membebaskan dirinya daripada belenggu hutang yang lain.
Dalam kes ini, penulis berpendapat KWSP wajar melakukan sesuatu bagi membolehkan dia mengeluarkan wang carumannya lebih awal untuk menyelamatkan keadaan, kerana dibimbangi tempoh 8 bulan yang terpaksa sahabat ini tunggu mungkin akan memberi risiko dia kehilangan tempat tinggal buat selama-lamanya.
Kes yang dihadapi oleh oleh sahabat ini sebenarnya mungkin turut dihadapi oleh insan-insan lain.
KWSP kini mempunyai dua pilihan, benarkan dia keluarkan carumannya dan masalah hutangnya selesai, atau tunggu lagi 8 bulan dan rumahnya terlelong.-K! ONLINE