fbpx

Rasuah: Pesara polis sebak rayu ringankan hukuman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sazali dijatuhi hukuman denda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan kerana menerima suapan berjumlah RM5,000, lapan tahun lalu.

IPOH – Seorang pesara polis yang didakwa atas 10 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM5,000 lapan tahun lalu, menangis ketika membuat rayuan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Sazali Shahrian, 61, yang ketika itu bertugas sebagai pegawai penyiasat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian gagal menahan sebak ketika mengemukakan rayuan di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, Sazali yang berpangkat inspektor itu didakwa telah menerima wang daripada seorang pengarah syarikat perkhidmatan pengangkutan barang melalui akaun bank.

Suapan itu sebagai dorongan terhadap kerja-kerja rasmi tertuduh yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 ke atas lori-lori milik syarikat berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ambank cawangan Bagan Serai dalam daerah Kerian antara Februari hingga November 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Azura Zulkiflee dan Afiqa Liyana Rozman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, dalam nada sebak dan menitiskan air mata, Sazali memohon dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menanggung isteri yang kini sedang menjalani rawatan dialisis.

Katanya, dia kini hanya menanggung kehidupan dengan mengambil tempahan nasi beriani untuk diinfaqkan ke masjid-masjid.

“Disebabkan kesalahan ini, saya masih belum menerima sebarang ganjaran dan pencen sebagai penjawat awam. Saya menyesal dengan kesalahan yang dilakukan dan mohon hukuman ringan kerana perlu menjaga isteri yang sakit dan membiayai rawatan dialisisnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI