fbpx

71 peserta terima Sijil Eksekutif IKMa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Yahya (enam dari kiri) bergambar bersama para peserta program Sijil Eksekutif 2023 yang diraikan dalam Majlis Penganugerahan Sijil Eksekutif IKMa di Auditorium Institut Koperasi Malaysia di sini hari ini. -Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON / KOSMO!

PETALING JAYA – Institut Koperasi Malaysia (IKMa) akan memperkukuhkan hubungan dengan pemain industri dalam usaha memastikan Program Sijil Eksekutif selaras dengan tuntutan sebenar sektor koperasi negara.

Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, pihaknya juga akan memberi penekanan dalam meningkatkan kualiti program berkenaan agar selaras dengan kehendak semasa.

Menurutnya, model latihan lebih spesifik dan berorientasikan praktikal perlu dibangunkan untuk melengkapkan peserta program dengan kemahiran mendalam sesuatu bidang.

“Kami yakin dengan adanya langkah-langkah ini, Program Sijil Eksekutif akan menjadi pilihan utama dalam memperkasa dan meningkatkan kemahiran peserta dalam kalangan gerakan koperasi.

“Justeru, komitmen IKMa untuk melahirkan individu yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi mampu menjana impak yang lebih besar dalam komuniti dan menangani cabaran semasa dengan ketangkasan dan kecekalan yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Sijil Eksekutif di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 71 peserta  membabitkan empat kategori iaitu Sijil Eksekutif Pengurusan Koperasi (SEPKo), Sijil Eksekutif Setiausaha Koperasi (SESKo), Sijil Eksekutif Pemasaran Digital (SEPDi) dan Sijil Eksekutif Pengurusan Runcit (SEPRACE) me­nerima sijil masing-masing.

Mohd. Yahya memberitahu, Program Sijil Eksekutif dianjurkan IKMa bertujuan meningkatkan kebolehan serta mencipta tenaga kerja profesional gerakan koperasi terutama dalam kalangan belia.

Pelaksanaan program tahun kedua itu menekankan aspek pengukuhan bakat dan pembangunan modal insan.

Sementara itu, salah seorang peserta, Wan Azwan Amin Wan Fakhruddin, 44, berkata, pendedahan yang diberikan oleh IKMa diyakini dapat membantunya memasarkan produk-produk ­secara digital dengan lebih­ ­berkesan.

“Kali ini, IKMa membawakan tenaga pengajar yang mempunyai pengalaman luas dalam industri. Ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan kepada kami yang mengelolakan koperasi. 

“Saya berharap agar usaha ini tidak terhenti di sini dan bakal ada lanjutan (kursus) pada masa hadapan,” katanya. 

Dalam pada itu, bekas guru, Sazali Saidin, 64, dari Koperasi Masjid Al-Ariffin Perlis berkata, ini merupakan kali ke-11 beliau menghadiri kursus yang dianjurkan oleh IKMa. 

“Sebelum ini, saya tidak ada sebarang ilmu mengenai perniagaan. Saya bukanlah berniaga dari dulu, tetapi berniaga selepas pencen. 

“Dalam program tersebut, IKMa akan ajar asas perniagaan bermula daripada pelan letak kedai, bagaimana hendak peragakan barang perniagaan serta cara terbaik menentukan harga supaya kita dapat meraih keuntungan yang sewajarnya daripada penjualan produk-produk,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI