SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan mengkaji semula keperluan mengurangkan nilai baucar Jom Shopping Perayaan daripada RM200 kepada RM150.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Selangor, V. Papparaidu berkata, penurunan nilai baucar akan dapat menambah lagi jumlah penerima manfaat tersebut.
“Bagaimanapun, ada beberapa faktor perlu diambil kira terlebih dahulu termasuk respon daripada rakyat yang telah sedia maklum akan kenaikan nilai baucar.
“Tambahan pula, nilai pembelian dengan RM200 adalah lebih banyak berbanding dengan RM150 selain mengambil kira kos barangan yang mahal dan semakin meningkat,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Terdahulu, Leong Tuck Lee (PH – Pandamaran) ingin mengetahui sama ada kerajaan negeri dapat menurunkan nilai baucar Jom Shopping Perayaan memandangkan boleh menambahkan jumlah penerima.
Kata Papparaidu, Jom Shopping Perayaan merupakan program yang dilaksanakan sejak tahun 2012 khusus untuk membantu meringankan bebanan rakyat termiskin dalam membuat persiapan menyambut perayaan utama seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali.
Sehubungan itu, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting tersebut, kerajaan negeri telah bersetuju untuk meneruskan program itu pada tahun ini dengan jumlah peruntukkan sebanyak RM16.48 juta yang disasarkan kepada 82,400 orang penerima.
“Kerajaan negeri menyambut baik akan cadangan menurunkan nilai baucar berkenaan namun amaun RM200 yang digunapakai buat masa ini adalah munasabah untuk seisi keluarga dan ia relevan dengan situasi ekonomi hari ini,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE