KUALA LUMPUR – Dakwaan Malaysia terlepas menjadi penganjur untuk konsert penyanyi antarabangsa, Taylor Swift yang membawa pulangan ekonomi besar tidak tepat kerana Malaysia tidak pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur konsert artis berkenaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim berkata, beliau malah telah mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu daripada firma atau konsultansi sukan yang berpangkalan di Malaysia, Sportswork Group Sdn Bhd.
“Sebenarnya dalam isu yang dibangkitkan mengenai peluang yang terlepas ini (menganjurkan konsert Taylor Swift) tidak begitu tepat. Konsert yang dipertikaikan ini tidak pernah pun ditawarkan kepada Malaysia dibawah kontrak bersama dengan ASM Global (syarikat pengurusan tempat Amerika Syarikat).
“KBS daripada sudut penganjuran, bukan tanggungjawab kita (KBS) kerana permohonan penganjuran terletak dibawah pihak lain. Kita hanya pihak yang bertanggungjawab menyediakan lokasi atau membantu dari segi logistik dan sebagainya,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta penjelasan mengenai dakwaan siri jelajah konsert Swift sepatutnya tidak terlepas kepada negara lain mengambil kira terdapat perjanjian dengan ASM Global.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sebelum ini mengumumkan insentif diberi kepada Swift menjadikan republik itu sebagai satu-satunya destinasi persinggahan siri jelajah dunia di Asia Tenggara
Menjawab soalan Datuk Mumtaz Md. Nawi (PN-Tumpat) berhubung prestasi hambar sukan badminton, Adam Adli memaklumkan, KBS mengadakan kerjasama strategik dengan akademik badminton seperti Nusa Mahsuri dan akademik yang digerakkan bekas pemain kebangsaan, Roslin Hashim.
Menurut beliau, kerjasama itu bagi memastikan lebih ramai bakat baharu dalam sukan badminton dapat dicungkil serta diketengahkan.
“Ini usaha digerakkan sejak tahun lepas. Berkait juga dengan beberapa isu melanda pemain perseorangan atau `independent’, kita bertemu mereka untuk dapatkan input apa yang perlu dilakukan untuk membantu mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE