KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat dimaklumkan masih wujud jurang sosioekonomi antara etnik di Malaysia sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1971.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, peratusan insiden kemiskinan mutlak Bumiputera adalah yang tertinggi di Malaysia iaitu 7.9 peratus berbanding Cina 1.9 peratus dan India 5.4 peratus pada tahun 2022.
Menurut beliau, kadar peratusan pengangguran Bumiputera pula sebanyak 4 peratus berbanding Cina 3.1 peratus dan India 4.8 peratus tahun lalu.
“Jumlah penganggur Bumiputera adalah paling tinggi iaitu seramai 387,800 atau 61.5 peratus daripada 630,400 penganggur berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh (LFS) 2022.
“Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera mencatatkan pencapaian 18.4 peratus pada tahun 2020 berbanding bukan Bumiputera sebanyak 29.5 peratus. Sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum dicapai,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Rafizi berkata, berdasarkan kedudukan semasa sosioekonomi Bumiputera, Kerajaan Perpaduan bertekad menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia dan memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih bermutu.
Justeru, katanya, pelan jangka panjang agenda baharu pemerkasaan Bumiputera yang lebih segar dan inklusif tanpa meminggirkan peranan semua etnik di Malaysia akan dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Menurut beliau, pelan tersebut dijangka diluncurkan pada Jun 2024 termasuk usaha bagi melonjakkan lagi tahap sosioekonomi Bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor agar terus berdaya saing.
Jelas beliau, tumpuan akan diberikan kepada tiga pemacu iaitu Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara, Memperkukuh Kerukunan Tatakelola dan Institusi dan Menegakkan Keadilan Sosial.
“Kerajaan juga akan memberi fokus kepada usaha pemerkasaan dan pengupayaan golongan pertengahan Bumiputera yang mampu mencipta nilai kepada ekonomi dengan membina perniagaan dan meningkatkan pendapatan berbanding hanya menambah nilai kepada ekonomi atau bergantung harap kepada pekerjaan bergaji tetap semata-mata,” katanya. – KOSMO! ONLINE