PASUKAN Perlis United FC kini selangkah untuk kembali menjadi skuad elit Liga Super pada musim 2024/2025 selaku penerima slot ke-14 tetapi perlu melunaskan empat kriteria utama sebelum tarikh akhir 21 Mac depan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan keputusan untuk menaikkan pangkat skuad Singa Utara itu dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi cadangan First Instance Body (FIB) yang menyemak dan menilai dokumen mereka sebelum ini.
Kata Stuart, empat kriteria atau empat syarat tambahan terbabit adalah aspek kewangan, pengukuhan, kemampuan serta keupayaan kelab untuk menambah daya saing Liga Super pada musim ini.
“Kita telah menawarkan kelab Liga M3 untuk memohon lesen luar biasa kali ini dengan empat pasukan telah dipanggil hadiri temu duga seperti Perlis United, Harini FT, Imigresen FC dan KL Rovers.
“Hanya Perlis United yang berjaya lepasi temuduga tersebut mereka masih belum diberikan lesen sepenuhnya dengan tarikh akhir untuk buktikan empat kriteria yang ditetapkan adalah 21 Mac depan.
“Malah, sokongan daripada kerajaan selain kemudahan fasiliti yang cukup turut menjadi salah satu faktor kenapa Perlis United lulus temuduga selain memiliki dokumen kukuh,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur hari ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan MFL, skuad Singa Utara berjaya memberikan salinan dokumen dengan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja bagi kempen musim ini.
Kali terakhir kelab yang mewakili Perlis beraksi dalam kancah Liga Super adalah pada edisi 2011 ketika ditadbir oleh Persatuan Bola Sepak Perlis (Perlis FA). – KOSMO! ONLINE