JAKARTA – Seorang suami di Majalengka, wilayah Jawa Barat, sanggup tidur di kubur isterinya yang meninggal dunia pada bulan lalu, lapor laman berita Tribun Trends semalam.
Kisah itu didedahkan menerusi klip video yang dimuat naik di platform TikTok oleh seorang pengguna menggunakan akaun @asepsaefudin497, baru-baru ini.
Lelaki yang dikenali sebagai Asep itu dikatakan turut kematian ibunya hanya beberapa bulan sebelum ‘pemergian’ isterinya.
Isteri Asep meninggal dunia kerana sesak nafas pada 24 Februari lalu. Pasangan yang berkahwin selama empat tahun itu dikurniakan seorang anak lelaki.
Berdasarkan video yang dimuat naik, Asep dilihat tidur di atas tikar di sebelah kubur isterinya yang dipenuhi taburan bunga.
“Ayah (Asep) lemah tanpa ibu (isterinya),” tulisnya pada kapsyen gambar di video itu. – AGENSI