fbpx

Malaysia gesa percepat penglibatan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika berucap dalam sesi pleno bertajuk Semakan dan Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN-Australia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), hari ini. -Foto MEDIA SOSIAL ANWAR IBRAHIM

PETALING JAYA – Malaysia menggesa agar dipercepatkan penggunaan dan penglibatan perniagaan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perkara berkenaan diutarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam sesi pleno bertajuk Semakan dan Hala Tuju Masa Hadapan Hubungan Dialog ASEAN-Australia pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), hari ini.

Turut diberi tumpuan adalah mempererat hubungan ASEAN-Australia berkaitan transisi tenaga dan pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.

Selain itu, pembangunan modal insan berkaitan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga dibangkitkan.

“Usai ucapan, saya bersama pemimpin ASEAN lain menyertai sesi makan tengah hari anjuran Gabenor Victoria Margaret Gardner AC di Government House, Victoria sebelum sesi permukiman berlangsung.

“Keakraban ASEAN-Australia harus diterjemah kepada lebih banyak peluang kerjasama untuk dimanfaatkan rantau ini secara bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Anwar berkata, lawatan sulungnya itu juga dibuat atas jemputan rakan sejawat, Anthony Albanese.

Semasa lawatan itu juga, beliau akan mengadakan perbincangan meja bulat dan juga secara langsung dengan ketua-ketua industri di Melbourne, sebelum ke Canberra pada hari terakhir lawatan pada Jumaat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI